“Lirik ini begitu antik sekali!” kata seorang teman setelah saya memberinya lagu ini.
“Antik” nya kerana sangat sukar memahami maknanya. (lagu2 M.Nasir selalu begini.huu)
Hijab Kekasih; kata penulis lirik:
Mengisahkan seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang terlalu sukar untuk mendapat jodoh kerana keadaannya yang hitam dan hodoh dipandang orang.
Lalu beliau berjumpa Nabi dan menceritakan masalah yang dihadapi. Nabi pun menyuruhnya pergi berjumpa dengan seorang kenalan Nabi untuk meminangkan dengan anak gadisnya.
Kebetulan pula anak gadisnya seorang gadis yang amat cantik berbanding gadis-gadis tempatan. Apabila beliau bertemu dengan si Ayah, si Ayah menolaknya mentah-mentah, lalu dia pun pergi dengan hati yang luruh.
Kebetulan pada masa dia meluahkan pada si Ayah apa yang tersirat didengar oleh anak gadisnya lalu si gadis menegur si Ayah dan berkata, ;”Tidakkah yang menghantar pinangan itu adalah Nabi Muhammad S.A.W.?” Tersentap hatinya apabila dia mendengar kata-kata anak gadisnya. Dia pun pergilah berjumpa dengan Nabi dan menerima pinangan itu, lalu sahabat tu dinikahkan.
Selesai sahaja dinikahkan, diumumkan pula oleh Saidina Umar untuk memanggil semua pemuda-pemuda untuk pergi berperang pada keesokannya dan dialah orang (sahabat Nabi yang hitam) yang pertama menyahut panggilan itu dengan pun belum berjumpa dengan isterinya yang baru dinikahinya.
Sebelum dia berangkat ke medan perang, dia telah dibekalkan sehelai kain hijab oleh isterinya dan kain hijab itulah pengubat rindu di malam hari semasa di kemah peperangan dengan dipegang erat.
Namun, sahabat Nabi itu akhirnya syahid di medan perang.
Begitulah pengorbanan cinta kepada CINTA yang lebih BESAR. Indah. Penuh pengajaran.
Erti Hijab kekasih bagi saya;
Bila kita terhijab dari melihat kebaikan Allah dalam apa yang kita lalui; senang atau sukar. Barangkali kerana dosa-dosa dan suuzhon kita pada Allah. (nauzubillahi minzalik..)
"Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir Allah. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah, apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan".
-dari buku Nota Hati seorang lelaki (ustaz Pahrol M.juoi)-
Hijab kekasih mampu mengalirkan air mata.
Diceritakan dalam sabda Nabi Muhammad SAW:
Berserulah seorang penyeru:"Hai para ahli syurga, sesungguhnya umatmu semua ada suatu janji daripada Allah yang kini Allah hendak melaksanakannya untuk kamu semua." Mereka berkata: "Bukankah Engkau ya Allah sudah membuat berat timbangan amal kebaikan kita, juga memutihkan yakni membuat bersih cemerlang akan wajah kita, serta memasukkan kita dalam syurga dan menghindarkan kita daripada siksa api neraka?"Seterusnya baginda saw bersabda: "Kemudian dibuka tabir daripada pemandangan mereka lalu dapat melihat ALLAH, tiada satu kurniapun yang telah dilimpahkan oleh Allah kepada ahli syurga yang dianggap lebih disenangi daripada melihat wajah Allah, juga tiada satupun yang mereka nilai lebih sedap bagi pandangan mata mereka daripada itu".
(H.R Imam Muslim)
Rindukah kita untuk melihat Allah?
Wahai kekasihku, jangan Engkau menghijabku daripada melihatMU, melihat kasih sayangMU, melihat syurgaMU..